Wednesday, June 01, 2011

5/5/2011 Utusan Malaysia《先锋报》的转载



KENAL PASTI PUNCA MASALAH

AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 1 Mei 2011 dalam ruangan Pendapat Yuanlun berkongsi pandangan mengenai perlunya kerajaan mengenal pasti punca sesuatu masalah itu sebelum mencadangkan langkah-langkah penyelesaian.

Artikel yang ditulis oleh penulis bebas, Zhou Jia Hui di halaman A14 bertajuk ‘Tidak ambil berat pada masalah yang sebenar’. Menurut penulis, sesuatu masalah itu tidak boleh dipandang daripada satu sudut sahaja jika kerajaan mahu mencari penyelesaian yang bersifat menyeluruh.

Kegagalan kerajaan untuk melihat kepada punca masalah sangat jelas dalam isu menarik cerdik pandai pulang ke Malaysia apabila ia masih menganggap negara asing menggunakan wang untuk membeli mereka.

Akibat kegagalan mengenal pasti punca masalah sebenar, menyebabkan kerajaan memperkenalkan strategi tidak berkesan seperti mengurangkan kadar cukai pendapatan yang perlu dibayar oleh golongan berkenaan. Ini hanya akan menjadi bahan ketawa pihak lain.

Dalam pada itu, situasi sama berlaku dalam politik apabila parti pemerintah kalah teruk di kawasan Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, baru-baru ini.

Sepatutnya, tumpuan adalah untuk mengenal pasti apakah masalah orang Cina sehingga mereka menyokong DAP? Ini nampaknya tidak dilakukan. Sebaliknya pemimpin-pemimpin BN hanya mengeluarkan kenyataan supaya kaum Cina tidak dihiraukan kerana masih ada kaum lain yang menyokong gabungan itu. Apa yang berlaku ini, jelas membuktikan kerajaan BN lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah kaum Cina. Ini akan menyebabkan kaum itu semakin marah dan geram.

Sepatutnya, kerajaan BN merasakan bahawa mereka berada dalam situasi bahaya berikutan keputusan PRN Sarawak ini. Keadaan ini bukan sesuatu yang buruk, kerana ia hanya bertujuan mendesak kerajaan supaya melakukan perubahan drastik.

Apa yang dilakukan oleh kaum Cina adalah umpama mereka menunjukkan jari ke bintang-bintang di langit. Kerajaan hanya perlu meneliti dan mengambil perhatian terhadap bintang-bintang yang ditunjuk itu, supaya ia dapat memahami kaum itu dengan lebih mendalam.

Sementara itu, kegagalan mencari punca masalah juga turut kelihatan dalam menangani isu kedudukan Malaysia yang masih berada dalam kumpulan negara sedang membangun. Pihak kerajaan asyik mengambil contoh negara mundur untuk dibandingkan dengan negara ini untuk mententeramkan jiwa rakyat. Ini menyebabkan rakyat berasa semakin kurang selesa.

Kegagalan kerajaan untuk mencari punca kenapa kita masih lagi menjadi negara sedang membangun sebenarnya telah memperdayakan harapan rakyat. Langkah kerajaan selama ini adalah umpama menyatakan wajah orang yang menghidap penyakit semput lebih ceria berbanding penghidap batuk kering atau membandingkan ukuran orang pendek dengan orang pendek.

Diharapkan pada masa akan datang, apabila kerajaan berhadapan dengan masalah, ia perlu berfikir sejenak dan membuat analisis bagi mengenal pasti sebab-sebab perkara itu terjadi. Jangan kita terus menyelesaikan masalah berkenaan tanpa menggunakan akal fikiran atau cuba menutup masalah itu supaya tidak diketahui orang ramai.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0505&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm)

原文:http://zhoujiahui.blogspot.com/2011/05/01052011.html

附:真是五味杂陈,被Utusan Malaysia转载!

No comments: